Tuesday, April 13, 2010

Tak Salah Jadi Tabligh


Tanggapan masyarakat mengenai Jemaah Tabligh ini yang sering kita dapati berbeza-beza. Ada yang mengatakan Jemaah Tabligh ini adalah Jemaah India, Ada pula mengatakan Jemaah Tabligh ini Jemaah Serban Ekor Dua. Ada yang mengatakan Jemaah Tabligh ini Jemaah Fadail Amal ia itu Jemaah Fadhilat yang tidak ada ilmu. Dulu-dulu ada yang memanggil Jemaah ini Jemaah Periok. Panggilan ini bila kita halusi adalah berdasarkan pengamatan masing-masing. Ini berdasarkan apa yang dilihat dan apa yang didengar tanpa melihat secara mendalam serta turut serta mengikutinya. Yang ikut serta pun tanpa menghayati usul dan tertib Jemaah ini pun pastinya tidak akan mendapat kefahaman yang sebenarnya apa itu “Tabligh”.

Ada yang hanya melihat dari luar sahaja, kemudian lansung mengkeritik Jemaah Tabligh ini. Hanya dengan berpandukan sekali atau dua kali menyertai jemaah ini lansung membuat komen yang ia telah faham dan tahu seluk beluk jemaah ini.Ada yang hanya bermuzakarah dengan satu dua ahli Jemaah Tabligh yang datang ke tempatnya ,lansung membuat rumusan mengenai Jemaah Tabligh ini. Tidak kurang pula ada yang hanya melihat kesilapan satu dua ahli jemaah ini, lansung mengharamkan jemaah ini dari masuk ke surau/masjidnya. Ada pula yang pergi ke Nizamuddin, India dan apabila pulang terus menhentam jemaah ini. Begitulah gelagat yang ada. Adilkah kita kalau begini cara kita meletakan kedudukan sesuatu jemaah?

Kalau kita melihat seorang ahli Pas yang menampal poster yang sibuk menampal poster sehingga datang waktu solat tetapi masih tak mempersiapkan diri untuk solat. Adilkah kita mengatakan “Semua ahli Pas memang tak suka menjaga solat”. Kalau kita lihat pula sebahagian ahli JIM yang berdemostrasi bercampur lelaki dan wanita, lansung kita mengatakan bahawa JIM ini memang suka bercampur lelaki dan wanita. Adilkah kita mengatakan begitu?. Begitu juga bila kita melihat sekumpulan ahli ISMA selesai sahaja berusrah lansung membonceng motorsikal lelaki dan wanita. Kemudian kita menuduh jemaah berkenaan dengan tuduhan negatif. Tentulah tidak adil bagi kita menuduh begitu pada setiap jemaah hanya dengan melihat segelintir ahlinya berbuat demikian. Kesilapan segelintir tidak mengambarkan keseluruhan jemaah. Begitu juga di zaman Nabi saw ada berlaku kes zina, Maiz ra pernah berzina dan dihukum rejam oleh Nabi saw. Begitu juga Qamidiah rha juga telenjur berzina, juga dihukum rejam oleh Rasulullah saw. Dengan melihat dua kes ini, adilkah kita mengatakan bahawa Islam memang agama yang pengikutnya suka berzina. Tentunya tidak.

Satu dua kes buang bayi, khalwat dan zina di kolej, universiti atau pondok berlaku, adilkah kita tutup terus kolej, universiti, dan pondok tersebut dari beroperasi? Atau patut kah kita mengatakan kolej, universiti dan pondok tersebut sebagai pusat buang bayi, pusat zina, tempat khalwat dan sebagainya. Sebodoh-bodoh manusia pun tidak berbuat demikian. Tidak ada satu pun manusia yang sempurna. Tidak ada mana-mana jemaah pun yang mengajar ahlinya berbuat buruk. Datangkan lah mana-mana jemaah, Badan-Badan NGO, Gerakan-Gerakan Islam di dalam mau pun luar negara, kita tidak akan dapati semua ahlinya sempurna iman, ilmu, amal dan akhlaqnya. Ini semua kita boleh terima.

Tetapi mengapa untuk Jemaah Tabligh sering diletakan hukum sesat, tidak berilmu, tidak syumul, Jemaah Juz’ah, Pengikut Ajaran Budha, Jemaah Jumud malah ada yang mengatakan darah Jemaah Tabligh adalah HALAL ( berlaku di JB) Tuduhan sebegini bukan hanya datang dari orang biasa, Jemaah-Jemaah Islam, NGO Islam malah datang dari gulongan yang bergelar ustaz / ulama. Samaada pandangan ini secara peribadi maupun mewakili jemaahnya. Adilkah kita berbuat berbuat demikian, Adakah tindakan sebegitu adalah sunnah dan Islamik? Adakah cara begitu boleh membetulkan UMMAH. Apa yang penulis sebutkan bukan kosong atau tuduhan melulu tetapi atas pengalaman penulis selama menjalankan usaha Jemaah Tabligh ini selama hampir 30 tahun lebih semejak penulis di bangku sekolah serta tidak pernah sekali pun “sejuk beku”.(maaf, bukan untuk sombong dan riak: semuga Allah swt kekalkan penulis dalam usaha yang mulia ini)

Sila lihat di dalam kitab tulisan Syeikh Hamud bin Abdullah At-Tauyujiri ,” Al Qaulul Baligh Fi Ta’zir Min Jamaahti Tabligh : cetakan Darul Sumai’i Lil Nashar Wat Tauzi’.Beliau seorang “Salafi Shadid” atau mungkin juga “Salafi Hairaki” yang memang terkenal dengan sifat keras terhadap gulungan yang tidak sefaham dengan mereka. Tuduhan liar yang dilemparkan terhadap Jemaah Tabligh terlalu banyak dan tidak berasas, Antaranya Jemaah Tabligh ini adalah penyembah kubur besar di Nizamuddin, India. Mungkin kelalaian penulis kitab berkenaan mendengar cerita yang salah lalu meletakan kenyataan itu di dalam kitabnya melalui teman-temannya yang datang ke Nizamuddin, India. Perlu diingatkan bahawa “Nizamuddin” ini adalah satu daerah besar. Namanya diambil sempena nama seorang ulama dan waliAllah besar di India, Syeikh Nizamuddin Auliya’. Di daerah Nizamuddin itu terdapat kubur besar Syeikh ini. Ramai orang India di seluroh dunia akan datang menziarahi kubur ini. Belebih lagi yang berfahaman ajaran “Brelwi” atau juga dikenali sebagai “Grave Worshiper”. Mungkin kerana Markaz Tabligh terbesar terdapat di daerah ini maka sesetengah orang menyangka inilah markaznya. Selain itu kerana pakaian yang dipakai oleh ahli jemaah ini memang pun pakaian orang awam di India, juga berjanggut seperti orang India (Brelwi) langsung menyangka jemaah ini meyembah kubur. Ini antara kesilapan fakta yang berlaku kerana ketidakketelitian penulis kitab berkenaan. Selain itu penulis kitab berkenaan juga telah menuduh bahawa Jemaah Tabligh ini menyebarluas amalan tarikat sesat. Sedangkan selama ini tidak ada sebarang tarikat yang disebarkan yang menjadi “ritual” amalan jemaah ini. Kalau ada pun ianya bersifat persendirian (infradiyah). Itu pun bukan semua amalan tarikat yang difatwakan sesat oleh ulama muktabar. Semua ini telah pun dijawab oleh sesetengah ulama pendukung Tabligh dan juga selain Tabligh. Antara buku jawapan seperti “Nadzrah Ilmiyah fi Ahlit Tabligh wad Da’wah “ Pengarang : Syeikh Ayman Abu Syadi. Walau pun banyak keritikan namun jumlah jemaah dari Tanah Arab terutamanya Saudi makin bertambah. Ijtimak di Yaman tahun lepas menghasil jemaah yang berganda-ganda daripada tahun-tahun sebelumnya.

Selain itu di tempat kita ni lain pulak caranya. Pantang nampak Mamak India, Pakistan, Bangla atau Nepal semua ‘dipukulnya’ Jemaah Tabligh. Kalau ada Pakistan yang jual karpet yang sememangnya ada janggut dan pakai kurta dikira orang tu Tabligh. Mamak India yang datang rumah ke rumah jual ‘Yassin’ pun dikira Tabligh. Pantang janggut dan pakai kurta semuanya Tabligh belaka. Sebab tu bila datang sekumpulan Mamak India pakai jubah warna hijau singgah di satu taman di Senawang, di tempat kami tahun lepas. Ajk dan ahli jemaah tempatan menyangka ianya adalah Jemaah Tabligh sebagaimana biasa. “Peliknya kumpulan ini tidak seperti Jemaah Tabligh biasa,” kata salah seorang Ajk dalam menerangkan hal jemaah tersebut kepada salah seorang teman penulis. “Pakaian dia semuanya hijau. Serban, baju, kain dan juga redaknya semuanya hijau,” terangnya lagi. Yang lagi pelik sambungnya,” Kumpulan ni tak baca buku Tabligh tu (fadhail amal) dia orang baca dalam bahasa Tamil yang bunyinya banyak menyebut Khidir as. Sikit-sikit Khidir as.”katanya mejelaskan. Rupanya kumpulan itu adalah kumpulan ajaran “Brelwi”, kumpulan penyembah kubur yang singgah dalam perjalanan mereka ke Pulau Besar. Bagi orang awam mereka ni Jemaah Tabligh yang sebenarnya bukan Tabligh. Jadi hal yang macam inilah yang meyebabkan masyarakat kita menuduh Jemaah Tabligh ini dengan berbagai tuduhan.

Selain itu ada beberapa kes yang pernah penulis hadapi sendiri. Pernah ketika penulis tinggal di Sg Besi, kami ‘tashkil’ (dakwah dan ajak) seorang pemuda yang baru kahwin yang berada di Masjid dengan wajah muram. Bila kami bertanyakan masaalahnya katanya dia ada masaalah dengan isterinya dan tak balik rumah serta tidur kat masjid. Bila penulis selidiki rupanya dia bergaduh sakan dengan isterinya. Kami minta dia pulang ke rumah ikram isterinya. Selang beberapa hari dia ikut keluar bersama kami 3 hari, setelah pulang dia mula kerap berjemaah di Masjid. Penulis himpit dan bertanya bagaimana hubungannya dengan isterinya, lansung dia menceritakan perkara sebenar. Rupanya isteri dia menjadi perempuan simpanan kepada seorang dato’dan bekerja sebagai GRO di satu kelab malam di Kuala Lumpur. Perkara sedemikian katanya berlaku sebelum beliau berkahwin dengan isterinya lagi. Penulis istighfar panjang mendengan cerita lanjut darinya. Selepas beberapa bulan beliau bercerai dengan isterinya.

Bila hal tersebut diketahui oleh jiran-jiran, mereka mencemoh dan mengatakan ikut ‘Tabligh’ dah jadi ‘terbalik’. ‘Ikut Tabligh dah cerai bini”, ada pula yang kata,” Tabligh apa asyik lepak masjid je.”. Yang lain pula berkata,”Orang Tabligh bini dah jadi GRO”, dan macam-macam lagi. Betulkah apa yang mereka tuduh? Adilkah mereka yang bermasaalah sebelum menjadi ‘karkun’ (ahli Tabligh) tiba-tiba bila keluar je 3 hari dituduh semua itu gara-gara Tabligh. Kes sebegini begitu banyak dalam masyarakat kita.

Namun begitu, pengikut Jemaah Tabligh ni bukannya semuanya baik-baik belaka. Banyak yang silap dan salah. Yang salah kita akui salah kerana Jemaah Tabligh memungut mereka-mereka di tepi-tepi jalan, orang yang bermasaalah, orang yang dahulunya samseng dan gangster. Jadi pastinya banyak silap dan salah. Namun biarlah kita berlaku adil dalam menghukum.

Fikir-fikirkanlah.

Nota : Pembaca diminta juga membaca setiap artikel di dalam blog ini yang berkaitan dengan Jemaah Tabligh agar mudah faham tulisan di atas. Selain itu pakat-pakat kita keluar di Jalan Allah dengan marhalah terdekat di tempat kita. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment