Thursday, April 8, 2010

Di manakah Perikemanusiaan

Harapan Tanpa Suara : Isu Pembuangan Bayi
Harapan Tanpa Suara
Di dalam kandungan ibuku tersayang
Amannya kurasakan
Degupan jantungmu, jantungkuIrama penuh syahdu

Kuingin rasai kehangatan pelukan
Belaian kasih sayang
Kujaga kau di hari tuamu
Andai panjang usiaku

Korus

Namun hanya harapan tanpa suara
Di dunia cuma seketika
Jasad kaku dibaluti kertas usang
Terbiar bagai sampah terbuang
Dimanakah ibu, dimanakah ayah
Bonekakah atau manusia
Anak tidak berdosa menjadi mangsa
Oleh hawa nafsu yang serakah

Lagu S.Atan
Lirik Habsah Hassan

Sedikit Targhib :

Isu pembuangan anak sebenarnya adalah isu besar di dalam masyarakat kita sekarang ini. Persoalannya bolehkah melalui hiburan dan dendangan lagu isu ini boleh ditangani dengan berkesan? Hari demi hari berita pembuangan anak pasti akan terpapar di dada akhbar harian. Kadar pembuangan anak begitu tinggi dan makin meningkat yang membimbangkan banyak pihak. Mereka-mereka yang terlibat umumnya mendapat kasih sayang yang sempurna dari ibubapa. Mereka-mereka ini bukannya tidak ada pendidikan, malah sesetengah dari mereka adalah pelajar-pelajar IPTA/IPTS. Maknanya mereka-mereka ini berpendidikan. Cumanya kurang dari sudut didikan agama serta datang dari keluarga yang bermasaalah yang kurang penghayatan agama.Selama ianya hiburan,maka ianya tetap hiburan. Yang pasti apa yang terhasil dari hiburan adalah hiburan juga.Bertambah lagi masyarakat saban waktu disajikan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan di kaca TV juga dengan acara-acara masyarakat yang tidak islamik.Sekarang ini kedengaran suara-suara agar anak-anak ini jangan dibuang. Serahlah di Pusat Jagaan Anak-anakTerbuang. Seruan ini adalah baik, tapi sampai bila isu ini boleh diselesaikan. Satu waktu Pusata Jagaan Anak terbuang ini pun akan penuh juga. Untuk 10 hingga 15 tahun akan datang pasti kita akan dikelilingi dengan anak-anak terbuang ini. Yang mendapat kasih sayang ibubapa pun bermasaalah, bagaimana pula yang tidak mendapat kasih sayang ibubapa. Pastinya mereka-mereka ini akan mencorakkan budaya hidup kita ketika itu. Bolehkah anak-anak kita dibesarkan dengan sempurna waktu itu? Inilah yang berlu kita fikirkan bersama.Persoalanya sekarang mengapa tidak kita tangani isu ini dengan kembali balek dengan cara agama yang mana kita yakin inilah cara terbaik dan cara sebenar bagi menangani masaalah ini. Setakat yang penulis sedar belum lagi isu ini diperkatakan di mimbar masjid sewaktu khutbah Jumaat di tempat penulis. Sedihnya, di dalam kita berkerut dahi dengan isu ini, kita disajikan dengan isi khutbah yang begitu membonsankan dan tidak menjurus ke arah isu masyarakat yang lebih penting ini. Sebagai contoh di tempat penulis, isi khutbahnya berkaitan dengan pengambilan gula berlebihan yang dikaitkan dengan penyakit kencing manis.Tajuk lengkap khutbah “Kurangkan Gula Lebarkan Senyuman”. Begitu juga pada minggu-minggu yang lalu ianya berkaitan isu demam denggi. Penulis tidak bermaksud bahawa isu yang diketengahkan ini tidak penting tetapi isu pembuangan bayi ini sepatutnya diketengahkan.Sekitar tahun 60an dan 70an kita dapati masyarakat kita begitu perihatin dengan amalan kurafat Mandi Safar. Hampir setiap orang di dalam masyarakat bila sahaja datang bulan Safar pasti amalan dan acara Mandi Safar ini akan disambut dan akan menjadi acara tetap. Kita dapati berduyun-duyun akan ke tepi pantai untuk Mandi Safar. Pantai Tanjung Keling, Pantai Morib, Pantai Port Dickson akan menjadi lokasi pilihan untuk Mandi Safar ketika itu. Miski pun pada waktu itu penulis masih di zaman anak kecil (7/8 tahun) namun penulis masih ingat penglibatan masyarakat di dalam acara ini. Mereka-mereka yang tinggal di pendalaman yang jauh dengan pantai akan merendamkan kertas yang tertulis dengan tulisan “syifak” di dalam air bekas air yang dibuat dari tanah (buyong). Air tadi akan mereka mandi untuk membuang sial pada bulan Safar.Apabila mimbar masjid memainkan peranan besar ketika itu membetulkan masyarakat serta ceramah agama di RMT ketika itu (Mimbar Islam Malam Jumaat) menekankan serta menjelaskan amalan kurafat tersebut. Juga teks buku agama sekolah ketika itu pun memasukan hadis menerangkan kurafatnya amalan tersebut, maka akhirnya amalan Mandi Safar ini hilang terus dari masyarakat. Sehingga hari, jenerasi baru tidak lansung kenal dan tahu bahawa Mandi safar ini pernah menjadi amalan masyarakat kita suatu waktu dulu.Mengapa perkara yang sama tidak kita warwarkan melaui khutbah jumaat yang mana penulis merasakan satu cara berkesan bagi menangani masaalah ini. Dalam pada itu institusi masjid perlu diperkemaskan bukan sahaja bercorak ceramah dan kuliah sahaja malah setiap masyarakat perlu dilibatkan dengan satu aktiviti ziarah rumah ke rumah memperkatakan soal agama yang mana secara tidak lansung akan menjurus kearah kesedaran dan hidayat. Dengan kesedarandan hidayat inilah maka penulis merasakan bahawa gejala ini juga gejala maksiat yang lain akan berkurangan di dalam masyarakat.Pandangan penulis ini bukanlah pandangan biasa tetapi ianya adalah kaedah yang telah diperintahkan oleh Allah swt kepada nabi-nabiNya pada setiap kaum bilamana kaum mereka berada di dalam kesesatan dan maksiat.Sama-samalah kita renungi. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment